KETUA Bahagian Bersatu Rembau, Mohd Nazree Mohd Yunus memberi bayangan mahu merampas Parlimen Rembau daripada penyandangnya, Khairy Jamaluddin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sehubungan itu katanya, tumpuan akan diberi kepada persiapan menghadapi PRU15 dan meneliti pendekatan membawa Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu memenangi Parlimen Rembau termasuk empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Paroi, Kota, Chembong dan Rantau.
Bagi merealisasikan hasrat itu, beliau berkata, sokongan masyarakat berbilang kaum diperlukan oleh Bersatu dan PN.
“Hubungan semasa antara Bersatu Rembau dan parti-parti dalam gabungan PN serta parti yang mendukung kerajaan Persekutuan akan dikekalkan selaras pendirian pucuk pimpinan pusat masa ini.
“Bersatu Rembau akan memberi tumpuan kepada pendekatan Rembau Prihatin dalam menyantuni rakyat terbanyak khususnya anak-anak muda di bandar dan kampung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Nazree berkata, ahli Bersatu Rembau digesa menjadi ejen ‘Islah dan Perubahan’ yang menepati citra rakyat dan anak-anak muda.
“Sokongan dan kehendak anak muda, kumpulan profesional, komuniti desa dan rakyat marhaen akan jadi keutamaan Bersatu Rembau dalam usaha menambah ahli, cawangan dan dukungan rakyat umum,” katanya.
Dalam masa sama, katanya, Bersatu Rembau akan memberi tumpuan kepada pengukuhan saf pimpinan di peringkat Bahagian dan mendekati golongan muda. – Malaysiapost

