9 polis terlibat kes peras ugut belum dipindahkan ke Sabah, Sarawak

0
1

SEMBILAN anggota polis yang dipercayai terbabit kes peras ugut di Selangor baru-baru ini, masih belum ditukarkan ke Sabah dan Sarawak, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengarahkan Jabatan Pengurusan PDRM untuk mengambil tindakan lanjut berhubung anggota terbabit yang sebelum ini dilapor ditukar ke kedua-dua negeri.

“Apa juga maklumat berkaitan isu ini, nanti kita akan disalurkan melalui Unit Komunikasi Korporat PDRM,” katanya seperti dilapor portal Deasoka.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Sempena Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Kota Kinabalu, hari ini.

Jelas Acryl Sani lagi, sembilan anggota polis itu tidak terbabit perpindahan di Sabah dan hanya di Sarawak.

“Jadi apa yang berlaku adalah kita akan mengambil maklum apa juga permintaan kerajaan Sabah dan Sarawak mengenai isu ini.

“Ribuan terima kasih kepada maklum balas yang kami terima daripada kerajaan Sabah dan Sarawak. Semua mereka (sembilan anggota polis) belum lagi dipindahkan ke Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi dilapor berkata, sembilan anggota polis yang disiasat dalam kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, telah ditempatkan untuk bertugas di Sabah dan Sarawak.

Semalam Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata beliau memandang serius perkara itu dan menegaskan ia perlu dibincangkan bersama kerajaan negeri terlebih dulu sebelum dilaksanakan.

Selain itu, pemimpin Warisan yang juga Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis berkata Sabah dan Sarawak bukan ‘tong sampah’ yang terpaksa menerima anggota polis bermasalah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here