BN perlu kembali dominan – Ahmad Zahid

0
1
updated

BARISAN Nasional (BN) perlu kembali dominan dalam kerajaan bagi mendirikan kembali asas kestabilan tanah air, tegas Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, untuk itu pendokong BN perlu yakin bahawa ia adalah gabungan politik paling berwibawa, berkebolehan dan berpengalaman untuk mentadbir.

Beliau yang juga Presiden Umno, berkata BN satu-satunya gabungan politik yang memiliki asas paling kukuh lagi berkesan untuk mentadbir negara.

“Asasnya yang harmoni, seimbang dan menyeluruh telah begitu lama terbina sejak penubuhannya.

“Asas tersebut yang berfungsi sebagai struktur kepada kestabilan dan kemakmuran Malaysia selama ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, asas yang sekian lama memacu pembinaan negara bangsa itu roboh jua angkara pembohongan dan fitnah.

“Menginsafi peristiwa hitam, menjadi hasrat BN bersama rakyat untuk mendirikan kembali asas kestabilan tanah air.

“Membina semula proses negara bangsa dan menjangkau apa yang telah kita ketinggalan sejak 9 Mei 2018,” katanya.

Beliau berkata, kestabilan juga kunci utama untuk negara mendepani pelbagai cabaran sedia ada dan mendatang, selain ketidaktentuan ekonomi, krisis kesihatan, konflik geopolitik dan lain-lain yang merungsingkan.

“Untuk itu pendokong BN perlu 100 peratus meyakini kepentingan untuk gabungan politik ini untuk kembali dominan.

“Yakin 100 peratus bahawa BN gabungan politik paling berwibawa, berkebolehan dan berpengalaman untuk mentadbir.

“Sedangkan gabungan politik lain cumalah percaturan politik merebut kuasa dan kedudukan semata-mata,” katanya.

Menurutnya, adalah sukar untuk meyakinkan pihak lain terhadap BN andai diri sendiri tidak yakin sepenuhnya terhadap BN.

“Justeru pendokong BN tidak boleh terkurang keyakinan. Berkat keyakinan Insya-Allah akan menterjemahkan kejayaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here