Sabah, Sarawak perlu dijaga, bukan dianaktiri – Syed Saddiq

0
1

HENTIKAN amalan memindahkan pegawai kerajaan termasuk anggota polis bermasalah ke Sabah dan Sarawak.

Perkara itu ditegaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman yang menyatakan kekecewaan sekali gus solidariti bersama pemimpin kedua-dua negeri.

Ia susulan laporan bahawa sembilan anggota polis yang dipercayai terbabit kes pemerasan ahli perniagaan telah ditempatkan untuk bertugas di Sabah dan Sarawak.

“Apabila berita anggota polis yang bermasalah kena hantar ke Sabah dan Sarawak ini, saya sendiri juga rasa kecewa,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Tambah Syed Saddiq, jika ada anggota bermasalah seperti mempunyai rekod jenayah dan salahlaku, tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka dan bukannya tukar alamat bekerja.

“Tak kisahlah tukar ke Sabah, Sarawak, Johor, Terengganu dan sebagainya. Jangan hantar pegawai yang bermasalah ini. Hukum sahaja mereka.

“Kalau hanya tukar alamat bekerja, masalah pasti tidak akan selesai.

“Sabah dan Sarawak adalah dua negeri yang perlu kita jaga seperti juga negeri lain. Susah senang bersama, bukan dianaktirikan dan dibeza-bezakan layanan,” katanya.

Semalam Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata beliau memandang serius perkara itu dan menegaskan ia perlu dibincangkan bersama kerajaan negeri terlebih dulu sebelum dilaksanakan.

Selain itu, pemimpin Warisan yang juga Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis berkata Sabah dan Sarawak bukan ‘tong sampah’ yang terpaksa menerima anggota polis bermasalah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here