Mangsa lemas ditemui lepas 2 hari hilang

0
1

Ben Ibrahim

SEORANG lelaki yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh semasa memancing di Sungai Semantan berdekatan Loji Air Semantan, Lanchang, dekat Temerloh, Pahang, Selasa lalu, ditemukan lemas hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata mayat Amiruddin Asyraf Mat Saman, 26 tahun, ditemukan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan Unit K9 pada 10.28 pagi tadi.

Katanya, seramai 55 anggota bomba dibantu pasukan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Rela serta orang awam turut membantu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua itu.

“Kita menemui mangsa kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

“Mayat mangsa berjaya dibawa keluar dari lokasi terbabit sebelum diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian Selasa lalu, mangsa bersama seorang lagi rakan terjatuh ke dalam sungai semasa melakukan aktiviti memancing di lokasi berkenaan.

Pasukan bomba menerima maklumat jam 6.22 petang mengenai kejadian itu.

Seorang lagi mangsa, Yuhanif Abd Mushalleh, 32 tahun, berjaya diselamatkan sejurus operasi menyelamat dijalankan.

Difahamkan mangsa yang terkorban dalam kejadian itu adalah kakitangan Tenaga Nasional Berhad. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here