Enakmen Antilompat Parti: 4 ADUN P.Pinang tak setuju keputusan mahkamah

0
2
Tinjauan Malaysiapost

EMPAT Ahli Undangan Dewan Negeri (ADUN) yang memfailkan saman berhubung enakmen antilompat parti, tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan bahawa Perkara 14A Perlembagaan Pulau Pinang tidak melanggar hak kebebasan berpersatuan yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Empat ADUN berkenaan menerusi kenyataan bersama, berkata Mahkamah Persekutuan telah mengubah dan mengenepikan undang-undang yang terdiri utuh selama 30 tahun.

“Kami menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan, namun kami tidak bersetuju dengannya.

“Adalah penting untuk orang ramai mengetahui bahawa kami mencabar Perkara 14A Perlembagaan Pulau Pinang kerana kami percaya bahawa seperti yang berlaku hari ini, peruntukan itu terdedah kepada penyalahgunaan. Peruntukan itu telah digunakan secara salah terhadap kami.

“Kami tidak pernah berpaling tadah atau menukar kesetiaan parti kami. Dua daripada kami telah dipilih di atas platform Bersatu dan kami kekal bersama Bersatu. Dua daripada kami pula telah dipecat daripada bekas parti kami kerana membuat kenyataan yang dianggap mengkritik kepimpinan parti,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya, bekas wakil rakyat PKR), Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh, bekas wakil rakyat PKR), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam, Bersatu) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang, Bersatu).

Mereka berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang telah menyatakan bahawa Kerajaan Negeri berhasrat untuk memastikan perlembagaan negeri selaras dengan cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Jika Kerajaan Negeri Pulau Pinang benar-benar tulus, dalam semangat dwipartisan, mereka akan menarik balik usul untuk menyingkirkan kami sebagai ADUN.

“Adalah jelas bahawa di bawah pindaan yang dicadangkan, kami tidak akan kehilangan kelayakan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, mereka difahamkan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut adalah berdasarkan alasan yang sempit.

“Justeru, kami mengarahkan peguam kami mengkaji semula perkara tersebut bagi membolehkan kami melaksanakan tugas kami sebagai ADUN yang telah dipilih secara sah.

“Kami tidak percaya bahawa parti politik boleh mempunyai kuasa mutlak mengawal dan menentukan keputusan seseorang wakil rakyat.

“Sebagai wakil rakyat yang terpilih, kami mewakili semua rakyat di kawasan kami sama ada mereka mengundi parti kami atau tidak dan kami akan terus membuat keputusan berdasarkan apa yang kami rasakan adalah dalam kepentingan dan keperluan terbaik pengundi kawasan kami dan bukan hanya atas tuntutan parti,” katanya.

Semalam, panel tujuh hakim memutuskan demikian selepas mendapati, hak individu untuk berpersatuan tidak terjejas namun tertakluk kepada undang-undang yang telah digubal oleh kerajaan negeri.

Sekitar tahun 2020, empat ADUN berkenaan memfailkan saman terhadap DUN Pulau Pinang dan Speakernya berhubung enakmen Antilompat parti negeri itu.

Pada 12 April 2022, Pesuruhjaya Kehakiman Pulau Pinang, Azizan Md Arshad membenarkan permohonan DUN Pulau Pinang dan Speakernya, Datuk Law Choo Kiang, untuk merujuk persoalan kepada Mahkamah Persekutuan bagi membolehkan mahkamah itu mendengar dan memutuskan isu perlembagaan berkenaan enakmen anti lompat negeri itu.

Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau perlu meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.

Pembentangan usul supaya keempat-empat mereka mengosongkan kerusi telah ditangguhkan sementara menunggu selesai saman mereka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here