Khalid Ibrahim impi beri saham Air Selangor percuma kepada rakyat – Najib

0
1

BEKAS Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pernah memasang impian untuk memberikan saham percuma dalam Syarikat Air Selangor kepada isi rumah sejurus selepas proses penstrukturan semula selesai.

Datuk Seri Najib Razak, berkata namun impian Abdul Khalid tidak dapat direalisasikan selepas dikhianati dan dipecat oleh PKR.

“Antara impian yang pernah diluahkan arwah ialah untuk memberi saham percuma dalam syarikat Air Selangor kepada semua rumah tangga yang merupakan pengguna Air Selangor setelah proses penstrukturan dan pengambilan semula selesai.

“Dengan pertolongan dan sokongan Kerajaan Pusat masa saya PM, proses penstrukturan tersebut berjaya diselesaikan tetapi arwah tak sempat merealisasikan impian seterusnya akibat dikhianat dan dipecat oleh parti dia,” katanya menerusi Facebook.

Justeru, Najib berkata, beliau mencadangkan BN Selangor untuk mempertimbang meletakkan pemberian saham Air Selangor sebagai salah satu janji dalam manifesto bagi PRU15 agar hasrat dan impian Khalid dapat disempurnakan.

“Saya juga tiada bantahan sekiranya kerajaan PH Selangor berbuat demikian sekarang juga sebagai penghormatan kepada arwah memandangkan mereka sedang menguasai Air Selangor ketika ini.,” katanya.

Terdahulu, Abdul Khalid meninggal dunia di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur pada 31 Julai lalu.

Allahyarham dimasukkan ke hospital sejak 23 April lalu akibat jangkitan pada injap jantung.

Abdul Khalid mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor ke-14 pada 13 Mac 2008 di Istana Bukit Kayangan dan menerajui Selangor sehingga 22 September 2014.

Beliau adalah Menteri Besar Selangor yang pertama daripada parti pembangkang Pakatan Harapan (PH) bagi menggantikan Dr Mohamad Khir Toyo.

Namun, Pada 9 Ogos 2014, Abdul Khalid dipecat daripada PKR sebagai ahli seumur hidup berkuatkuasa serta merta.

Keputusan itu dibuat kerana Mesyuarat Pimpinan Pusat PKR mendapati beliau mengingkari arahan untuk meletak jawatan dan memberi laluan kepada Wan Azizah yang terpilih pada pilihan raya kecil DUN Kajang.

Abdul Khalid bersara daripada arena politik selepas mengumumkan tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dalam satu kenyataan pada 7 Februari 2018. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here