Lapor jika ada jabatan melewatkan pembayaran – MB Negeri Sembilan

0
2

MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun meminta pihak kontraktor yang menjalankan projek diberikan kerajaan supaya melaporkan kepadanya jika terdapat jabatan yang melewatkan pembayaran tanpa sebab.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Sembilan sedar berkenaan peri pentingnya pembayaran oleh jabatan Kerajaan dilakukan dengan segera agar aliran wang tunai kontraktor terlibat tidak terjejas.

“Sekiranya ada jabatan yang melewatkan pembayaran tanpa sebab, sila maklumkan kepada saya untuk diambil tindakan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Aminuddin berkata, itu adalah antara pesannya sewaktu perasmian Mesyuarat Persatuan Kontraktor Bumiputra Kelas G1 Negeri Sembilan (PERKOBF NS) pada petang tadi.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa memberi peluang kepada Kontraktor Bumiputera kelas G1 untuk lebih maju ke hadapan.

“Antara perkara utama yang dilakukan bagi memastikan para kontraktor diberi peluang adalah dengan melaksanakan Cabutan Undian Projek-Projek di bawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

“Di samping melonjakkan ekonomi, inisiatif tersebut dapat memberikan projek secara adil dan mengelakkan monopoli projek kelas G1 oleh pihak-pihak tertentu,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan negeri juga sentiasa menitikberatkan kebajikan para kontraktor kelas G1.

“Justeru, saya berharap agar mereka yang diamanahkan untuk melaksanakan projek dapat menjalankan projek dengan berkualiti dan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Jangan dikhianati kepercayaan yang diletakkan oleh Kerajaan dan juga rakyat dengan melaksanakan projek secara sambil lewa ataupun diserahkan kepada pihak ketiga,” katanya.

Aminuddin berharap semua kontraktor dapat menjadi usahawan yang benar-benar bertanggungjawab dengan menyediakan pelbagai kemudahan terbaik yang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here