Polis kesan penipuan Skim Bantuan Khas Covid-19

0
2

JABATAN Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur mengesan modus operandi terbaru kegiatan penipuan melalui SMS membabitkan tawaran skim bantuan khas Covid-19.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim, berkata sejak 28 hingga 30 Julai lalu, JSJK Kuala Lumpur telah menerima tiga laporan berhubung penipuan berkenaan.

Menurutnya, dalam ketiga-tiga kes terbabit mangsa adalah warga tempatan berusia 26 hingga 48 tahun yang telah menerima SMS yang menawarkan Bantuan Khas Covid-19 berjumlah RM500 seorang.

“Bantuan tersebut kononnya akan dikreditkan ke dalam akaun hanya selepas mangsa mengisi butiran peribadi melalui pautan yang diberikan.

“Setelah mengisi butiran peribadi dalam pautan berkenaan, mangsa-mangsa mendapati baki dalam akaun bank mereka telah berkurangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, susulan itu ketiga-tiga mangsa telah mengalami kerugian berjumlah RM4,550 dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Azmi berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan pengumuman bahawa tidak pernah menghantar sebarang SMS berkaitan pemberian bantuan kewangan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk melayari laman Twitter MySejahtera untuk mendapatkan pengesahan daripada MySejahtera berkenaan Skim Bantuan Khas Covid-19 ini.

“Polis turut menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan secara terus dengan kementerian atau agensi bertanggungjawab berkenaan sebarang pemberian bantuan dari kerajaan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya memuat turun sebarang pautan yang tidak pasti kesahihannya dan jangan sesekali mendedahkan butiran peribadi serta maklumat perbankan kepada pihak ketiga. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here