PERTUBUHAN-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mempersoalkan di mana ahli-ahli politik beragama Islam yang mengecam mereka sebelum ini berhubung isu ibu tunggal Loh Siew Hong yang tiga anaknya diislamkan oleh bekas suami.
Pengerusi PEMBELA, Aminuddin Yahaya berkata adakah umat Islam perlu terus ‘berlemah lembut’ lagi atau apakah masih mahu menunggu sehingga tiga anak tersebut dimurtadkan.
“Kita mahu soal ahli-ahli politik beragama Islam, terutamanya yang teruk mengecam kami dahulu. Di manakah anda dalam hal ini?
“Apakah masih nak ‘berlemah lembut’ tak tentu pasal lagi? Atau apakah nak kena tunggu anak-anak ini betul-betul dimurtadkan baru nak tersedar?
“Ketika itu sudah sangat terlambat. Itu pun kalau tersedarlah. Ya Allah, selamatkanlah aqidah anak-anak ini yang cuba dimurtadkan ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Siew Hong untuk meneruskan permohonannya mengetepikan penukaran agama tiga anaknya kepada Islam.
Mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan Siew Hong berhubung penukaran agama yang dibuat bekas suaminya yang juga mualaf, Muhammad Nagahswaran Muniandy.
Nagahswaran didakwa melarikan tiga anaknya dan menukar agama mereka tanpa pengetahuan dan kebenaran Siew Hong, dua tahun lalu.
Dengan keputusan itu, mahkamah akan menetapkan tarikh bagi mendengar merit semakan kehakiman tersebut.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata suatu ketika dulu apabila pihaknya menyatakan kebimbangan berhubung isu tersebut, mereka diserang bertali arus dengan pelbagai label seperti ekstrimis dan pemecahbelah kononnya mengadu domba perkara yang tidak akan berlaku.
“Mereka kata ini sekadar isu hak penjagaan anak dan ancaman aqidah hanyalah rekaan kami untuk menakut-nakutkan masyarakat.
“Kononnya Loh yang didokong oleh wakil-wakil rakyat dan peguam DAP itulah pejuang sebenar yang membela seorang ibu yang ditindas dan dinafikan hak.
“Seolah-olah merekalah yang terpaling harmoni dan ‘innocent’ walaupun telah banyak kenyataan yang agak celupar dikeluarkan,” katanya lagi.
Pada 21 Februari lalu, mahkamah membenarkan permohonan habeas corpus Siew Hong untuk disatukan semula dengan anak-anaknya.
Sebulan kemudian, dia memfailkan permohonan untuk mencabar keabsahan penukaran agama anaknya.
Siew Hong, 34, menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Maips, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan negeri sebagai responden.
Menerusi semakan kehakiman itu, dia memohon perintah certiorari untuk membatalkan Akuan-Akuan Memeluk Agama Islam bertarikh 7 Julai 2020 yang dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf Negeri Perlis atas nama ketiga-tiga anaknya.
Dia juga menuntut beberapa pengisytiharan daripada mahkamah, antaranya bahawa Nagahswaran tidak layak dari segi undang-undang untuk menukar agama anak mereka kepada Islam. – Malaysiapost
Kredit foto: Malakat Tribune

