JENAZAH bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selamat disemadikan di Makam Diraja Shah Alam, Persiaran Kayangan Seksyen 5, Shah Alam kira-kira jam 2.30 petang tadi.
Solat jenazah Allahyarham diimamkan oleh Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), Muhammad Farhan Wijaya selepas solat Zohor.
Sebelum itu, jenazah dimandikan, dikafankan dan disolatkan di Masjid Saidina Umar Al Khattab Bukit Damansara, Kuala Lumpur, lapor Berita Harian.
Jenazah dibawa ke Masjid Negeri diiringi, isteri, Puan Sri Salbiah Tunut, anak serta cucu Allahyarham pada jam 11 pagi.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Makam Diraja Shah Alam untuk menghadiri pengebumian Allahyarham.
Turut mengiringi baginda, Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah Alhaj; Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Haris Kasim serta Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.
Terdahulu, beberapa kenamaan hadir memberi penghormatan di Masjid Negeri antaranya Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim.
Turut kelihatan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.
Bekas Menteri Besar Selangor itu meninggal dunia di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur, jam 11.08 malam tadi.
Pada 23 April lalu, Abdul Khalid dimasukkan dimasukkan ke sebuah hospital swasta akibat jangkitan kuman pada injap jantung.
Pada 24 Julai pula, beliau menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Kuala Lumpur. – Malaysiapost
Foto kredit: Sinar Harian

