Zainal, Dollah antara 4 bekas pemain Pahang kini bergelar Datuk

0
2

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menzahirkan ucapan tahniah kepada empat bekas pemain bola sepak kebangsaan atas penganugerahan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

FAM dalam kenyataan, berkata empat bekas pemain iaitu Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Ahmad Yusoff dan Yunus Alif dikurniakan darjah kebesaran itu pagi tadi sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang.

“Darjah kebesaran itu telah diterima mereka pada majlis istiadat yang berlangsung di Istana Abu Bakar, Pekan, pagi tadi bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” menurut kenyataan itu.

Menurut FAM, Zainal Abidin, 60, merupakan salah seorang daripada tujuh legenda bola sepak negara yang berada dalam Kelab Abad FIFA atau FIFA Century Club (untuk pemain yang mencatat 100 penampilan antarabangsa ke atas) menerusi 116 caps bersama skuad Harimau Malaya.

Sementara Dollah, 59, pula selain beraksi sebagai penyerang Harimau Malaya sekitar era 1980-an dan 1990-an, turut pernah menjadi ketua jurulatih kebangsaan pada 2014 hingga 2015 dengan membawa Malaysia muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2014.

“Ahmad, 62, sentiasa akan diingat dan dikenang sebagai kapten pasukan ketika Malaysia meraih pingat emas Sukan SEA 1989 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

“Sementara Yunus, 64, pemain kebangsaan di penghujung era 1970-an hingga 1980-an cukup sinonim namanya di pentas bola sepak negara bersama abangnya, Datuk Abdah Alif,” katanya.

FAM berkata, jasa dan pengorbanan keempat-empat bekas pemain itu kepada bola sepak Malaysia pastinya akan terus dihargai dan tetap dikenang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here