‘Jasa Allahyarham Khalid akan terus dikenang saya dan penduduk Lembah Klang’ – Najib

0
1

DATUK Seri Najib Razak mengakui tidak akan melupakan langkah berani yang diambil bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi menangani isu air di Lembah Klang.

Najib berkata, ketika Abdul Khalid menjadi Menteri Besar Selangor beliau telah menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU) penstrukturan semula air Selangor dengan kerajaan pusat dan meluluskan loji penapisan air Langat 2.

Katanya, Abdul Khalid juga perlu diberi kredit sepenuhnya apabila Lembah Klang tidak lagi mengalami catuan air bagi tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.

“Pada Februari 2014, Allahyarham dengan beraninya telah menandatangi MoU penstrukturan semula air Selangor dengan kerajaan Pusat dan meluluskan Loji Penapisan Air Langat 2.

“Biarpun (ketika itu) rakan-rakannya dalam Pakatan (Rakyat) membantah kerana berdegil dan melawan atas sebab politik bahawa projek-projek Langat 2 dan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PAMPS) tidak diperlukan.

“MoU air ini yang dijadikan alasan permulaan oleh Pakatan bagi langkah mereka singkirkan Allahyarham sebagai Menteri Besar Selangor dan untuk pecat beliau dari parti beberapa bulan kemudian,” katanya menerusi Facebook.

Najib berkata, walaupun begitu, MoU air dan projek tersebut tetap diteruskan dan dinanti-nantikan Kerajaan Selangor selepas pemecatan Allahyarham sebagai Menteri Besar Selangor.

Najib berkata, ia sekali gus membuktikan bahawa keputusan arwah untuk mengetepikan politik sempit demi kelangsungan hidup penduduk Lembah Klang adalah sangat tepat.

“Jasa arwah akan terus dikenang oleh saya dan seluruh penduduk Lembah Klang. Langkah beraninya tidak saya lupa.

“Secara peribadi, saya amat sedih dengan pemergian Tan Sri Khalid Ibrahim. Saya mohon semua untuk sedekahkan doa buat Allahyarham,” katanya.

Terdahulu, Abdul Khalid menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.08 malam tadi akibat jangkitan pada injap jantung.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan menerusi Facebook, Khalid, 76, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, empat anak dan dua cucu telah dirawat di hospital sejak 23 April lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here