PN kena terima hakikat sebagai kerajaan gagal – Isham Jalil

0
2

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil menempelak kenyataan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengatakan PN berjaya mengatasi masalah ekonomi.

Menurutnya, kenyataan Presiden Pas yang dibuat dalam ucapan di Majlis Pelancaran PN Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Tok Guru Masjid Rusila, Marang, malam tadi, adalah pembohongan.

“PN berjaya atasi masalah ekonomi? Ini bohong. Masa 17 bulan PN memerintah, kerajaan telah gagal. PN buat ‘lockdown’ terpanjang di dunia.

“Hutang negara bertambah, pelabur lari ke negara lain, 800,000 tiada kerja, rakyat angkat bendera putih akibat masalah ekonomi dan kesengsaraan hidup, ramai bunuh diri, dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusi PN) terpaksa letak jawatan.

“Kalau dia (Muhyiddin) dan PN berjaya atasi masalah ekonomi, rakyat tidak panggil PN kerajaan gagal dan suruh dia letak jawatan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau mengulas ucapan Abdul Hadi yang antara intipati ucapannya adalah PN telah berjaya atasi masalah ekonomi, dan rakyat kena tahu bahawa PN telah menunjukkan bukti yang gabungan itu telah berjaya memimpin negara.

Menurutnya, antara intipati lain ucapan Ahli Parlimen Marang itu adalah Pakatan Harapan (PH) jatuh kerana tidak menunaikan manifesto, berbeza dengan PN yang tiada manifesto, tetapi hanya ada agenda.

Mengulas mengenai perkara itu, Isham berakata yang tulis manifesto bohong PH itu adalah parti utama PN iaitu Bersatu.

“Pengerusi PN sekarang iaitu Muhyiddin itulah adalah antara orang yang bertanggungjawab terhadap manifesto PH semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Orang yang bohong manifesto itu ada sekali atas pentas dengan tuan guru (Abdul Hadi),” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai ucapan Abdul Hadi yang mengatakan PN mengajak parti-parti lain untuk selamatkan negara, bukan hanya untuk rebut kuasa, tetapi untuk selamatkan negara, beliau meminta PN menerima hakikat sebaliknya.

“PN tidak rebut kuasa? Yang ramai lompat parti untuk jawatan dan berebut kuasa dan yang baru-baru ini tuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri itu PN lah. Terimalah hakikat, PN penuh dengan pelompat parti dan orang yang gila kuasa.

“Tetapi apabila diberi kuasa dan amanah, mereka buat kerosakan dan ranapkan ekonomi negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here