PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin gabungan Pas, Bersatu dan Gerakan mampu memberi kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Menurutnya, sebagai persediaan menghadapi pilihan raya itu, PN sudah membuat keputusan untuk menyelesaikan pembahagian kerusi pada mesyuarat lalu.
“Kita tak nak berlengah, kita nak duduk, runding dan selesaikan pembahagian kerusi seluruh negara, Parlimen dan negeri-negeri yang akan kita hadapi pada masa hadapan (PRU-15). Tak susah.
“Lebih, kurang halal. Maknanya bertolak ansur. Tapi kalau dapat diselesaikan. Jentera parti kita di peringkat bawah tahu ini Pas punya. Pas punya tak apa, bantu.
“Bersatu mesti bantu Pas menang. Di kawasan Bersatu, Pas bantu Bersatu menang dan lain lagi sebab kita sudah ada dalam satu jemaah PN,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran PN Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Tok Guru Masjid Rusila, Marang, malam tadi.
Beliau berkata, bagi memastikan kemenangan pilihan raya adalah satu tugas besar, jentera parti perlu diperkukuhkan untuk menentukan supaya rakyat faham apakah perjuangan parti berkenaan.
“Dengan gabungan parti, bekerja keras dan yakin, Insya-Allah boleh menang PRU….yakin menang besar.
“Ini bukan takabur tetapi realiti. Dengan sokongan tidak besar mana dari Bersatu, saya yakin kita boleh menang seratus peratus,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau tidak kecewa selepas Barisan Nasional (BN) menolak Bersatu daripada bergabung dalam Muafakat Nasional (MN).
“Namun saya yakin jika kerjasama parti Melayu Islam (BN, Bersatu dan Pas) dalam MN benar-benar terjalin, saya pasti kita boleh menang dengan lebih 2/3 pertiga tetapi malangnya sehingga hampir satu tahun…saya kira lebih… sampai hari ini, Umno buat keputusan menolak kami menyertai MN.
“Tidak terima tak apa…kita ada Pas…abah kita ada kat sini….ini abah saya (Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang). Kita sama-sama dengan nawaitu yang sama, kita rasa kita boleh berusaha.
“Gabungan ikatan persaudaraan kita sekuat-kuat yang mungkin, bekerja keras, memikul amanah dan tanggungjawab, saya percaya dengan izin Allah kita akan berjaya pada pilihanraya nanti,” katanya. – Malaysiapost

