PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan selamat menyambut Hari Pahlawan 2022 yang disambut hari ini dalam mengenang jasa semua pasukan keselamatan negara.
Menurutnya, tanggal 31 Julai adalah bagi memperingati perajurit negara dan mengenang jasa semua pasukan keselamatan tidak kira tentera atau polis sebelum dan selepas Malaysia merdeka.
“Keamanan yang kita kecapi ini adalah hasil daripada para pahlawan yang berjuang demi mempertahankan tanah air yang berdaulat ini.
“Perjuangan mereka begitu besar sehingga sanggup mengorbankan nyawa ke titisan darah terakhir bagi tanah air yang tercinta,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau turut menyeru agar semua rakyat menyematkan semangat juang para pahlawan dalam Keluarga Malaysia.
“Sebagai sebuah Keluarga Malaysia, marilah kita sematkan semangat juang para pahlawan dan kecintaan kita dengan menjadi pewaris negara yang penuh bertanggungjawab terhadap ibu pertiwi.
“Selamat Menyambut Hari Pahlawan 2022,” katanya. – Malaysiapost

