Pemimpin Umno buat masalah – Abdul Hadi

0
3
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang

PENUBUHAN Muafakat Nasional (MN) membabitkan gabungan antara Pas, Umno dan Bersatu yang dicadangkan Pas untuk membentuk kerajaan sebelum ini gagal kerana tindakan segelintir pemimpin Umno yang menimbulkan masalah.

Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata masalah itu termasuk cubaan beberapa pemimpin Umno mewujudkan jajaran baharu.

Menurutnya, Pas menegaskan kepada Umno jika tidak mahu menyertai Perikatan Nasional (PN) dan mahu MN ditubuhkan, gabungan itu perlu disertai Bersatu kerana Umno dengan Pas sahaja tidak mampu membentuk kerajaan.

“Umno tidak mahu masuk PN…Umno mahu Pas dengan Umno sahaja..Pas kata tak boleh, kalau Pas dengan Umno sahaja tak cukup (majoriti) nak menerintah, mesti kena gabung semua.

“Kemudian kita bersetuju menubuhkan MN dengan syarat menggabungkan tiga parti besar Melayu dan Bumiputera, bukan Pas dengan Umno sahaja,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran PN Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Tok Guru Masjid Rusila, Marang, malam tadi.

Abdul Hadi berkata, apabila Pas menegaskan berhubung perkara itu, Umno bersetuju menerima Bersatu masuk menyertai MN, namun apabila ia ingin dilancarkan, pelancarannya tertangguh.

“Sampai masa nak lancar (MN) tertangguh-tangguh…bukan kita (Pas/Bersatu) yang tangguh tetapi Umno yang tangguh. Pimpinannya yang tangguh, tetapi bukan semua pimpinan. Pimpinan paling tinggi yang tangguh-tangguh.

“Tak boleh nak buat..Umno buat masalah..dia nak buat jajaran baharu,” katanya.

Beliau berkata, demi mempertahankan kerajaan PN ketika itu, terpaksa dicadangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat dan kemudian lantik Perdana Menteri dari Umno. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here