LETUPAN yang berlaku di ruang angkasa Sarawak kira-kira jam 12.50 tengah malam tadi disahkan bukan meteoroid.
Perasaan teruja penduduk Sarawak berkenaan dengan meteoroid atau tahi bintang telah dikongsi di platform media sosial.
Bagaimanapun, Markas Pemerintahan Angkasa Amerika Syarikat (USSPACECOM) mengesahkan ia adalah serpihan penggalak sebuah roket China yang terhempas di Lautan Hindi.
Menurutnya, serpihan itu berasal daripada roket Long March 5B yang dilancarkan pada 24 Julai lalu untuk menghantar modul Wentian ke Stesen Angkasa Lepas Tiangong milik China.
“USSPACECOM mengesahkan bahawa roket Long March 5B (CZ-5B) milik Republik Rakyat China (PRC) memasuki semula Lautan Hindi pada kira-kira pukul 10.45 pagi waktu Gunung (12.45 tengah malam waktu Malaysia) semalam,” lapor Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, agensi angkasa memberitahu orang ramai boleh merujuk kepada PRC untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai aspek teknikal mengenai kemasukan semula seperti potensi penyebaran serpihan dan lokasi impak.
Difahamkan serpihan roket angkasa itu melintasi langit di Kuching, Sarawak sebelum dilaporkan terhempas di Lautan Hindi tetapi ia berkemungkinan impaknya memberi kesan ke atas Bintulu.
Terdahulu, pakar astronomi cuma menjejaki trajektori serpihan roket besar tersebut kerana ia dikatakan membuat kemasukan semula ke atmosfera Bumi dalam gerakan yang tidak dapat diramalkan.
Sebuah badan bukan bermotifkan Amerika Syarikat iaitu Aerospace Corporation menjelaskan bahawa kemasukan semula roket itu mungkin berlaku di mana-mana di sepanjang dua trajektori. – Malaysiapost

