KONTINJEN negara kini mengumpul dua emas dan satu gangsa dalam temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 setakat pagi ini.
Pingat emas pertama negara disumbangkan Mohamad Aniq Kasdan yang mengungguli acara angkat berat 55 kilogram (kg) di National Exhibition Center (NEC) .
Kem angkat berat negara sekali lagi cemerlang apabila menyumbang emas kedua bagi negara melalui Muhammad Aznil Bidin dalam kategori 61kg.

Kemenangan itu dikongsikan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Facebook sebentar tadi, dan turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Mohamad Aniq.
Pingat gangsa negara hadir dari pelumba basikal negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam acara keirin lelaki.

Malaysia kini berada di tangga keenam kedudukan pingat keseluruhan dengan Australia mengungguli tangga teratas mengumpul keseluruhan 32 pingat membabitkan 13 emas lapan perak 11 gangsa.
Tuan rumah England di tangga ketiga mengumpul keseluruhan 21 pingat membabitkan lima emas, 12 perak dan empat gangsa. – Malaysiapost

