KETUA Pemuda Pas Ahmad Fadhli Shaari, berpendapat adalah tidak sesuai Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus didesak oleh Bersatu berhubung jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Menurutnya, situasi negara ketika ini adalah tidak sesuai untuk membincangkan soal jawatan berkenaan.
“Saya setuju dengan pandangan sekarang bukan masanya untuk bincang soal jawatan kerana rakyat tidak berminat nak tahu siapa Timbalan Perdana Menteri.
“Rakyat cuma nak tahu apa nak makan malam ini, apa nak makan esok, bagaimana nak bayar sewa rumah, bagaimana nak bayar ansuran kereta dan yuran sekolah anak.
“Kalau kita nak bercakap soal jawatan lagi, saya sebagai orang politik pun rasa agak tidak kena dengan suasana hari ini,” katanya dalam siaran langsung di laman Facebooknya, petang tadi.
Beliau menjawab soalan ditanyakan pengguna Facebook mengenai kekecewaan Perikatan Nasional (PN) terhadap Perdana Menteri berhubung isu lantikan Timbalan Perdana Menteri.
Ahmad Fadhli menegaskan, fokus sekarang adalah kepada rakyat dan bukannya mengenai isu jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Beliau bagaimanapun menjelaskan, kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin, hari ini mengenai kekecewaan PN, bukanlah memfokuskan isu jawatan dalam Kabinet sahaja.
“Kenyataan yang dikeluarkan PN hari ini bukanlah fokus pada isu jawatan Timbalan Perdana Menteri, tetapi beberapa perkara lain antaranya keputusan di peringkat kerajaan hendaklah dirujuk kepada parti yang ada dalam kerajaan.
“Contohnya Perdana Menteri semalam membuat keputusan berhubung kerjasama dengan parti pembangkang yang mana kenyataan itu dikatakan tidak dirujuk kepada pimpinan PN,” jelasnya. – Malaysiapost

