Operasi Pangea XV: KKM rampas produk farmaseutikal tidak berdaftar bernilai RM2.65 juta

0
2

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) terbabit dalam Operasi Pangea XV yang berlangsung dari 23 Jun hingga 1 Julai 2022 dan diselaraskan oleh International Criminal Police Organization (Interpol) di 94 negara seluruh dunia.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dalam operasi itu sebanyak 2,438 pautan di laman sesawang menjual produk farmaseutikal tidak berdaftar dikesan dan dianggarkan RM2,652,500 produk farmaseutikal tidak berdaftar telah dirampas di seluruh Malaysia.

Menurutnya, di Malaysia, operasi itu diselaraskan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM dan melibatkan kerjasama antara beberapa agensi lain seperti National Central Bureau (NCB)/ Interpol Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Pos Malaysia, dan CyberSecurity Malaysia.

“Sebanyak 2,438 laman sesawang termasuk Dark Web dikesan menjual produk farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan telah dikesan.

“Kesemua pautan ini telah dipohon untuk disekat akses oleh pihak SKMM dan penyedia platform. Manakala bagi Dark web pula, senarai pautan diserah kepada Interpol untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, operasi pada tahun ini mendapati peningkatan dalam penjualan ubat-ubatan terkawal seperti bahan psikotropik, ubat penahan sakit, antibiotik dan lain-lain.

“Di samping itu, sebanyak 686 peranti perubatan seperti pelitup muka, termometer, oximeter dan monitor tekanan darah dikesan dijual tanpa kelulusan daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan di laman sesawang,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sepanjang tempoh sama sebanyak 1,059 bungkusan pos telah diperiksa, dan 73 bungkusan pos didapati mengandungi 315,916 unit produk farmaseutikal tidak berdaftar dianggarkan bernilai RM887,024 telah dirampas.

Menurutnya, pemeriksaan dijalankan di semua pintu masuk utama di seluruh negara melibatkan kargo udara, lapangan terbang, pos sempadan dan terminal feri.

Beliau berkata, aktiviti penguatkuasaan lain yang dijalankan melibatkan serbuan bersasar ke atas penjual dan premis perniagaan yang terlibat dengan penjualan secara dalam talian.

“Sebanyak 75 premis menjual produk farmaseutikal tidak berdaftar termasuk rumah kediaman, salon kecantikan, gimnasium dan kedai menjual barangan haiwan telah diserbu dan 244,299 unit produk farmaseutikal dianggarkan RM1,707,040 dirampas.

“Serbuan dalam operasi kali ini mensasarkan produk pelangsing tradisional yang dicampur palsu dengan Sibutramin,” katanya.

Menurutnya, dalam beberapa siri serbuan yang lain, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi telah merampas ubat terkawal seperti analgesik dan antibiotik.

“Turut dijumpai dalam serbuan tersebut adalah suplemen kesihatan, vitamin dan produk tradisional yang tidak berdaftar dengan KKM.

“Dalam serbuan berasingan, Pihak Berkuasa Peranti Perubatan telah berjaya merampas sebanyak 26,400 unit sarung tangan getah dan 94 unit ujian RTK COVID-19 yang tidak berdaftar,” katanya. – Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here