Harga, bekalan ayam stabil bukti subsidi berkesan – Najib

0
1

LAPORAN berita mengenai harga ayam turun dan bekalannya kembali stabil sejak beberapa hari lalu membuktikan langkah pemberian subsidi oleh kerajaan adalah berkesan.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, berkata langkah berkenaanlah yang sering disuarakannya ketika pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Menurutnya, kawalan harga sahaja tanpa menyelesaikan masalah asas iaitu kenaikan kos penternakan hanya akan membawa kepada kekurangan bekalan dan harga yang tinggi.

“Sebab soalan paling asas ialah siapa yang mahu ternak jika dipaksa kerajaan untuk menanggung kerugian setiap kali menjual?

“Sebab itu saya telah berulang kali saran kerajaan menggunakan hasil cukai durian runtuh ke atas sawit untuk memberi subsidi kepada penternak ayam sejak April 2021,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun kerajaan PN ketika itu degil dan sekiranya dibuat masa itu, ramai penternak tidak akan gulung tikar.

“Tiadalah bekalan di pasaran tempatan berkurangan. Tiadalah harga ayam naik melambung sehingga kerajaan dimarah rakyat.

“Tiadalah harga ayam goreng dan makanan berasaskan ayam dan telur dinaikkan harga. Dan setelah dinaikkan, harga makanan di restoran akan sukar untuk turun semula,” katanya.

Najib juga berkata, jika subsidi diberikan lebih awal, eksport ayam tidak akan dihentikan sehingga negara hilang pasaran kepada penternak Thailand dan Indonesia.

“Dan tiadalah peluang bagi geng sebelah sana (pembangkang) bersama parti Amanah untuk mempergunakan anak muda untuk turun ke jalan raya untuk protes,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here