PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang diluluskan Dewan Rakyat hari ini, akan menamatkan krisis politik negara yang tiada berkesudahan.
Beliau yang menzahirkan rasa syukur dengan kelulusaan pindaan RUU itu berkata, usaha tersebut dibuat demi melindungi mandat rakyat yang telah memberi undi serta kepercayaan tinggi terhadap ahli Dewan Rakyat.
“Terima kasih saya ucapkan kepada semua Ahli Parlimen sama ada penyokong kerajaan atau pembangkang yang bersama-sama menyokong pindaan perlembagaan sebentar tadi.
“Penggubalan Rang Undang-Undang ini untuk memastikan kestabilan politik dan mengelakkan negara terus berdepan dengan krisis politik yang tiada berkesudahan.
“Usaha ini sememangnya adalah untuk melindungi mandat rakyat yang telah memberi undi serta kepercayaan tinggi kepada ahli Dewan Rakyat ketika proses pilihan raya,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, perkara itu juga melakar satu sejarah besar buat negara.
“Alhamdulillah, saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana Rang Undang-Undang ini telah diluluskan dengan sokongan 209 Ahli Parlimen bersamaan persetujuan lebih daripada majoriti 2/3 Ahli Parlimen,” katanya.
Terdahulu, Dewan Rakyat mencatat sejarah hari ini apabila meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, dengan majoriti melebihi dua pertiga.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun sewaktu membacakan keputusan itu berkata, seramai 209 Ahli Dewan Rakyat bersetuju, manakala 11 lagi tidak hadir dalam bacaan kali ketiga usul berkenaan hari ini.
“Ini adalah keputusan bacaan kali yang ketiga. Undi yang bersetuju ialah 209, tidak hadir 11, maka lebih dua pertiga undi majoriti yang bersetuju,” katanya. – Malaysiapost

