Safawi mahu buktikan pemain Malaysia berbakat

0
2

TONGGAK Harimau Malaya, Safawi Rasid mahu menjadikan Liga Primeira Portugal sebagai platform membuktikan kepada Eropah bahawa Malaysia mempunyai pemain terbaik.

Bercakap kepada media sebelum berlepas ke Portugal, Safawi berkata ini masa terbaik untuk mengembirakan rakyat Malaysia.

“Saya nak orang kenal saya, satu dunia, Insya-Allah. Saya akan cuba buat yang terbaik dan buat rakyat Malaysia gembira sebab saya nak ubah gaya saya main bola serta tingkatkan lagi persembahan untuk pasukan kebangsaan.

“Pertama sekali saya nak rebut peluang untuk berada dalam kesebelasan utama. Saya akan tunjukkan semuanya apa yang saya ada, saya harap pergi sana, kaki kiri saya menjadi,” katanya.

Bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berlepas ke Portugal, malam kelmarin untuk menyertai Portimonense SC secara pinjaman selama semusim.

Pemenang Anugerah Gol Terbaik Sedekad Liga Juara-Juara Asia (ACL) turut berharap penampilan beliau bersama Portimonense nanti mampu memikat kelab besar lain di Eropah.

“Kita cuba dulu, bagi saya kalau ada rezeki dan jika ada kelab besar di sana nak saya, kemungkinan saya akan kekal untuk teruskan kerjaya di sana.

“Tapi memang berat nak tinggalkan JDT, saya sudah bersama kelab itu empat tahun dan banyak pencapaian di sana. Saya nak tengok stadium pun sedih,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: balrz