Nenek Zizan Razak meninggal dunia

0
1

Nurul Huda Abhar

NENEK pelakon dan pelawak, Zizan Razak, Zainoon Abdullah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Dungun, Terengganu, jam 11.57 pagi semalam.

Menerusi satu hantaran di Instagram (IG), Zizan berkongsi berita pemergian arwah neneknya kepada pengikutnya.

“Al-Fatihah buat Zainoon Abdullah yang menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.57 pagi ini.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan bersama orang yang beriman dan dipermudahkan segala urusan,” tulisnya.

Zizan juga memuat naik satu lagi video dan pelakon filem Polis Evo itu tidak mampu menahan sebak dan mengalirkan air mata.

“Assalamualaikum, saya sampai di tanah perkuburan dan selesai sudah pengebumian jenazah nenek. Terima kasih pada rakan peminat yang mengucapkan takziah dan kata semangat buat saya serta keluarga.

“Saya mohon doakan yang terbaik buat arwah nenek saya. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Terima kasih,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan lebih lanjut mengenai penyakit dihidapi neneknya.

Zizan sebelum ini ada membuat beberapa hantaran di IG mengenai keadaan kesihatan arwah neneknya yang semakin uzur. – Malaysiapost