Covid-19: 160 kes aktif di Selangor

0
2

SELANGOR terus mengalami peningkatan dalam kes Covid-19 iaitu 31 kes tempatan direkodkan sehingga semalam.

Pertambahan kes baharu itu menjadikan kes aktif terkumpul bagi pandemik berkenaan di negeri itu adalah sebanyak 160 kes.

Menerusi makluman Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) di Facebook, daripada jumlah itu, 91 kes membabitkan individu yang mendapat jangkitan di negeri lain.

“Malaysia juga mencatatkan kes jangkitan tertinggi untuk tiga hari berturut-turut.

“Ingat! Jika warga Selangor leka, kita bakal mengulangi semula kerosakan ekonomi yang lebih teruk daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan, 31 kes berkenaan membabitkan 14 kes di daerah Klang iaitu lapan saringan kontak rapat di mukim Klang, empat kes saringan Kluster Jalan Meru di mukim Klang, satu kes saringan Kluster Jalan Meru di mukim Kapar, satu kes saringan pulang dari Sabah di mukim Klang.

“Sembilan kes daerah Hulu Langat membabitkan lima kes saringan pulang dari Sabah di mukim Kajang, tiga kes saringan kontak rapat di mukim Kajang, satu kes saringan kontak rapat di mukim Ampang.

“Empat kes daerah Petaling iaitu masing-masing dua kes saringan pulang dari Sabah di mukim Petaling dan mukim Sungai Buloh; tiga kes daerah Sepang (dua kes saringan pulang dari Sabah di mukim Labu dan satu kes saringan pulang dari Sabah di mukim Dengkil) serta satu kes di daerah Gombak (saringan kontak rapat di mukim Batu),” katanya menerusi Facebook. -Malaysiapost