Nurul Huda Abhar
PENGALAMAN berada dalam wad isolasi Covid-19 bukan satu perkara yang diimpikan, termasuk wartawan The New Straits Times Press (NSTP), Azrul Affandi Sobry.
Menerusi satu hantaran di laman Facebooknya hari ini, Azrul Affandi memuat naik foto hari pertama berada dalam wad isolasi selepas disahkan positif Covid-19.
Mengakui tidak percaya dirinya dijangkiti Covid-19, beliau bagaimanapun redha dengan apa yang berlaku.
“Serius aku masih macam tak percaya. Selama ini aku yang paling lantang berbicara mengenai Covid dan hari ini aku menjadi mangsa tentera virus ini. Tapi aku redha kerana mungkin ada sesuatu yang Allah nak tunjukkan pada aku.
“Wad isolasi ini bukan macam wad biasa. Ia lebih kepada satu bilik yang mengasingkan pesakit Covid sebelum dipastikan sama ada perlu dipindahkan ke wad rawatan jika sangat memerlukan.
“Ramai dalam wad ni. Adalah lebih 50 orang. Muda-muda semuanya. Adalah seorang dua yang aku rasa berusia 50-an. Mungkin warga emas diletak di wad lain,” tulisnya.
Menurutnya, turut diasingkan dalam wad isolasi tersebut adalah kanak-kanak berusia 10 tahun.
Katanya, beliau tidak mempunyai sebarang perancangan untuk dilakukan sepanjang 14 hari berada dalam wad tersebut.
“Ada juga adik beradik dalam wad yang sama. Budak tu mungkin dalam 10 tahun usianya. Mujur abangnya ada sekali. Dapatlah juga dia berteman. Abangnya selalu mengusiknya, mungkin nak hilangkan kebosanan mereka.
“Aku pun tak tau macam mana nak habiskan 14 hari di sini kerana memang tiada apa yang boleh dibuat kecuali baring, ke tandas, surau dan baring semula.
“Pagi ini darah diambil. Petang ni x-ray pula. Semoga tak ada apa-apa masalah besar. Kalian doakan saya ya. Orang dalam wad ni pun baik belaka,” katanya lagi.
Azrul Affandi dihantar bertugas membuat liputan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan pulang ke Semenanjung pada 1 Oktober lalu. – Malaysiapost

