Pemandu BMW rentung dikenalpasti

0
3

POLIS sudah mengenalpasti identiti pemandu kereta jenis BMW yang rentung selepas kenderaannya terbakar dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan berhampiran Jabatan Permas Jaya, Lebuhraya EDL, Pasir Gudang menghala Bakar Batu, Johor pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata identiti mangsa disahkan melalui ujian sampel asid deoksiribonukleik (DNA) antara mangsa dengan seorang lelaki berusia 45 tahun.

“Polis mengesahkan pada jam 2 petang tadi telah menerima laporan daripada Pejabat Kimia Negeri Johor berkenaan sampel perbandingan DNA antara mangsa yang terbabit kemalangan itu dengan waris yang merupakan abangnya.

“Dalam laporan itu keputusan DNA yang dipadankan adalah 99.9998 peratus sepadan antara satu sama lain. Dengan ini polis mengesahkan bahawa mangsa iaitu pemandu kereta BMW yang terbabit kemalangan maut berkenaan adalah lelaki tempatan berusia 34 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, keadaan pemandu van yang turut terbakar dalam kemalangan itu pula masih menerima rawatan di zon merah Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Menurutnya, jenazah diserahkan kepada keluarga mangsa oleh Pejabat Forensik HSA kira-kira jam 8 malam tadi.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi Isnin lalu, pemandu sebuah kereta jenis BMW dilaporkan rentung selepas terlibat kemalangan membabitkan empat kenderaan.

Kemalangan itu mengakibatkan kereta BMW dipandu terbakar 90 peratus, van pekerja kilang juga terbakar 90 peratus, manakala Perodua Myvi terbakar 60 peratus dan sebuah Honda City tidak terbakar. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here