TAN Sri Rahmat Abu Bakar menafikan menerima sumbangan dana politik sebanyak RM2.6 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) bagi pihak bapa saudaranya Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Pengerusi dan Penasihat UKSB menegaskan kenyataan bekas pengurus pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun di mahkamah seperti dilaporkan media semalam adalah berunsur palsu, fitnah dan berniat jahat.
Rahmat menafikan beliau mewakili Dr Mahathir untuk menerima wang sebanyak RM2.6 juta dan menurutnya duit sebanyak itu tidak pernah diberikan kepadanya.
Menurutnya selepas menyedari UKSB bermasalah, beliau bertindak memutuskan hubungan dengan UKSB dan telah memulangkan wang imbuhan yang diterimanya sebagai pengerusi dan penasihat syarikat berkenaan.
“Pada 13 Julai 2018, saya telah dilantik pengerusi serta penasihat kepada UKSB. Saya juga ditawar untuk ambil alih 50 peratus saham syarikat UKSB.
“Saya dijanji imbuhan sebanyak RM1.3 juta sebulan sebagai pengerusi dan penasihat. Inilah bayaran yang saya terima dalam bentuk wang tunai. Kemudian saya telah kembalikan wang tunai ini kepada UKSB kerana khuatir dengan asasnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menjelaskan lebih lanjut, Rahmat berkata pada 14 November 2018 beliau telah meletak jawatan sebagai pengerusi dan penasihat dengan perkara itu diperakui dalam surat Pengarah Urusan UKSB Datuk Fadzil Ahmad kepadanya.
“Saya ambil tindakan letak jawatan setelah dinasihatkan Tan Sri Abu Kassim Mohamed, yang ketika itu menjawat Ketua Pengarah Pusat Governance, Integriti dan Anti-Rasuah Negara.
“Saya akur pada nasihat tersebut berdasar kepada maklumat bahawa UKSB ini merupakan syarikat bermasalah. Terkait dengan UKSB akan mendatangkan lebih mudarat.
“Saya juga telah batalkan niat untuk ambil alih apa jua kepentingan di dalam syarikat tersebut,” jelasnya.
Rahmat berkata, kesemua tindakan yang diambilnya itu tercatit dalam surat menyurat diantara beliau dengan pihak-pihak berkaitan.
“Ini berbeza dengan dengan kenyataan yang dibuat David Tan Siong Sun yang bersamdar kepada buku lejar yang merupakan rekod pengurusan UKSB dan tiada bukti surat ataupun dokumen,” katanya.
Beliau menegaskan Dr Mahathir juga tidak terbabit dan tidak tahu tentang kaitannya dengan UKSB.
“Jika tuduhan palsu ini tidak ditarik balik oleh David Tan, saya akan ambil tindakan yang sewajarnya,” katanya. – Malaysiapost

