Tiada alasan tolak RUU Anti Lompat Parti – Shahril Sufian

0
2

TIADA alasan untuk mana-mana Ahli Parlimen atau parti politik menolak Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang telah dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen, hari ini.

Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan, berkata sebaliknya akta itu perlu diluluskan dengan tuntas dan disokong oleh semua pihak.

Menurutnya, Umno akan menyokong RUU berkenaan seperti yang telah diputuskan oleh Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021.

“Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang bermesyuarat pada 14 April 2022 berpendirian bahawa RUU Anti Lompat Parti mesti segera direalisasikan sebagai satu manifestasi untuk memastikan hak pengundi sentiasa terpelihara dan dihormati.

“Alhamdulillah seperti yang telah dinyatakan oleh Menteri Undang-Undang Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada awal bulan ini, RUU itu akan dibentang pada sesi Parlimen yang sedang berlangsung.

“Perkara ini menjadi realiti dengan bacaan kali kedua oleh Perdana Menteri hari ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan telah mengadakan pelbagai sesi libat urus tentang RUU terbabit dan merangkanya selama setahun.

“Ini bagi mendapat maklum balas dan persetujuan selepas musyawarah dan perincian secara mendalam antara parti-parti politik dan masyarakat awam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan, berkata Parlimen memerlukan sekurang kurangnya dua pertiga atau 148 orang Ahli Parlimen untuk RUU berkenaan diluluskan sekaligus menghentikan tindakan melompat parti.

“Kegilaan lompat melompat dan ‘katak-katak’ politik ini mesti dihentikan segera.

“Mohon rakyat pilihlah calon berprinsip daripada parti terbukti mampu menjamin kestabilan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here