TINDAKAN Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak meneruskan memorandum persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH), jelas selaras dengan keputusan dibuat Umno.
Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Naib Presiden Umno itu tidak menurut kehendak PH dan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya mendokong penuh keputusan dan ketetapan yang diresolusikan akar umbi dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021.
Menurutnya, keputusan itu juga dipertegaskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.
“Fokus sekarang adalah untuk mempersiapkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) untuk diserahkan kembali mandat hakiki kepada rakyat.
“Ini setelah pelbagai episod perpolitikan dan lompat melompat dikalangan Ahli-Ahli Parlimen sehingga menatijahkan ketidak-stabilan dalam negara sehingga ke hari ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu Perdana Menteri memaklumkan tiada perjanjian atau MoU baharu akan dimeterai dengan PH dan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai tahun lalu, akan diteruskan sehingga Parlimen dibubarkan.
Ismail Sabri berkata, beliau dan kepimpinan PH bersetuju untuk tidak ada perjanjian atau persefahaman baharu. – Malaysiapost

