JIKA Ahli Parlimen dimartabatkan dan lebih bermaruah dengan mewujudkan Rang Undang-Undang (RUU) larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, maka parti-parti politik juga perlu lebih bermaruah, tegas Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Ahli Kinabatangan itu mencadangkan satu lagi RUU diusulkan bagi membolehkan mana-mana parti yang memenangi pilihan raya, namun gagal menunaikan janji dibuat kepada rakyat secara automatik gugur daripada menjadi kerajaan.
“Kalau wakil rakyat ingin diperkasakan, parti juga kena ada maruah.
“Mana-mana parti yang menang dalam pilihan raya, membuat macam-macam janji tetapi apabila jadi kerajaan tidak menunaikan janji dibuat, maka parti itu secara automatik boleh digugurkan daripada menjadi kerajaan,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022, berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob d Dewan Rakyat, hari ini.
Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, berkata tindakan terhadap parti yang menipu itu adalah penting.
“Sebab salah satu faktor Pakatan Harapan (PH) gugur adalah kerana ketika itu mereka menipu rakyat. Janji banyak..beratus-ratus, semuanya percuma..tetapi rakyat tunggu namun tiada juga..PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) tiada, minyak tiada..itu ini tidak juga.
“Saya minta kerajaan buat satu RUU baru itu, jika menang pilihan raya selepas janji macam-macam kepada rakyat tetapi tidak tunaikan dalam tempoh satu atau dua tahun, mereka gugur sebagai kerajaan,” katanya.
Dalam membahaskan RUU larangan lompat parti, beliau berkata asas untuk mewujudkan RUU berkenaan adalah jelas iaitu bermatlamat menstabilkan kerajaan selepas pilihan raya.
“RUU ini satu anjakan paradigma kepada Ahli-Ahli Parlimen. Ahli Parlimen perlu ditingkatkan martabatnya supaya mereka sedar bahawa mereka ada maruah yang perlu dipertahankan.
“Jika suka melompat ini, dia (Ahli Parlimen) gadai maruah. Sebab itu kita tidak mahu wakil rakyat mengadai maruah mereka. Sebab wakil rakyat ini dipilih oleh rakyat,” tegasnya.
Sementara itu, Bung Moktar juga menggesa kerajaan negeri untuk membawa usul akta lompat parti ke Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
“Kalau Ahli Parlimen sudah dimartabatkan, takkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) macam ‘monyet’ lagi..(Ini) Tidak boleh, Adun-Adun juga kena ada maruah tidak boleh lompat sana sini,” katanya. – Malaysiapost

