Tun M mungkin ‘u-turn’

0
2

TUN Dr Mahathir Mohamad mungkin membuat pusingan U apabila tidak menolak kemungkinan bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ia susulan kenyataan terbaharu bekas Perdana Menteri itu kepada Straits Times Singapura Jumaat lalu, hanya kira-kira dua minggu setelah memberitahu Kyodo News bahawa dia tidak akan bertanding.

Dr Mahathir mendakwa penyokongnya ‘kurang senang’ dengan tindakan beliau mahu bersara, sebaliknya mereka mahu beliau terus berkhidmat.

“Mereka masih mahu saya mengatakan bahawa saya mahu bertanding. Memang benar bahawa kebanyakan orang yang berusia 95 tahun tidak akan aktif.

“Saya lebih bernasib baik, saya masih dapat aktif. Tetapi mereka nampaknya tidak fikir bahawa kesihatan saya akan merosot apabila umur saya semakin lanjut.

“Mereka melihat saya seperti saya sekarang. Jadi mereka menginginkan saya, sekurang-kurangnya, tidak mengatakan bahawa saya tidak akan bertanding,” katanya.

Pada 25 September lalu, Dr Mahathir dilaporkan berkata, beliau tidak berhasrat bertanding pada PRU akan datang, namun akan terus memerangi rasuah melalui Parti Pejuang Tanah Air.

“Saya mahu sedikit masa lagi, tetapi saya fikir saya akan berkhidmat dalam jangka masa yang singkat.

“Tetapi saya tidak akan bertanding dalam pilihan raya ke-15,” katanya kepada Kyodo News dalam wawancara di Putrajaya. – Malaysiapost