Paraglider tersangkut 10 jam di pokok berjaya diselamatkan

0
4

SEORANG lelaki tersangkut lebih 10 jam di pokok ketika melakukan sukan luncur udara (paraglider) di Bukit Kokol, Menggatal, Sabah, berjaya diselamatkan malam tadi.

Mangsa berusia 35 tahun itu tersangkut sejak tengah hari semalam di pokok setinggi 30 meter dan dibawa turun pada jam 10.13 malam oleh pasukan operasi bomba.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mangsa mengalami beberapa kecederaan ringan di badan.

“Bomba kemudian mengiringi mangsa ke pos kawalan yang terletak sejauh dua kilometer dari lokasi mangsa terjatuh dan tersangkut.

“Mangsa seterusnya diberi rawatan oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di pos kawalan sebelum dihantar ke rumah penginapan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari semalam, mangsa yang melakukan aktiviti luncur udara dipercayai gagal mengawal payung terjun kendaliannya sebelum tersangkut di atas pokok berkenaan.

Bomba yang menerima panggilan kecemasan pada jam 12.12 tengah hari kemudian mengerahkan 22 anggota dan pegawai termasuk Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm) ke lokasi mangsa tersangkut.

Operasi menurunkan mangsa berjaya dilakukan dengan bantuan peralatan dron daripada kelab Dron D’Bayu yang turut hadir membantu di lokasi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here