‘Kalau tak bersalah, kenapa Jho Low cadang bayar RM1.5 bilion?’ – Tun M

0
1

TUN Dr Mahathir Mohamad menggesa Tan Sri Mohamed Apandi Ali memberi penjelasan berhubung tindakannya mencadangkan penyelesaian kes Low Taek Jho atau Jho Low dengan tawaran ahli perniagaan itu perlu membayar Kerajaan Malaysia sebanyak RM1.5 bilion.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu, berkata Mohamed Apandi sebelum ini mendakwa tiada kesalahan yang dibuat Datuk Seri Najib Razak dalam kes dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang bermakna Jho Low turut tidak bersalah.

“Jikalau tidak bersalah apa sebabnya Jho Low bercadang bayar satu setengah billion Ringgit kepada Kerajaan Malaysia. (Sedangkan) cara orang yang tidak bersalah ialah dengan kembali ke Malaysia dan sanggup dibicara di mahkamah.

“Tetapi Jho Low masih tidak sanggup kembali ke Malaysia walaupun sanggup menghubungi Apandi. Kesanggupan Apandi menerima tawaran Jho Low tentulah kerana Apandi sekarang akui yang Jho Low bersalah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, Najib didapati bersalah dengan kesemua tuduhan dalam perbicaraan di mahkamah.

Katanya, keputusan mahkamah itu sekali gus menunjukkan dakwaan Mohamed Apandi bahawa Ahli Parlimen Pekan itu tidak melakukan apa-apa kesalahan, ditolak oleh mahkamah apabila Najib dibicarakan.

“Ini bemakna Apandi cuai dalam menjalankan amanah sebagai AG (Peguam Negara).

“Yang menjadi soalan ialah apakah jenis hubungan Apandi dengan Jho Low semasa ia memutuskan bahawa tidak ada apa-apa kesalahan yang dibuat oleh Najib. Jika ada hubungan maka ‘conflict of interest’ berlaku.

“Sekali gus keputusan Apandi menghalang mahkamah dari membicara kes Najib dan juga melindungi Jho Low,” katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu siasatan ke atas apa hubungan antara Mohamed Apandi dan Jho Low perlu dibuat untuk mengesan sama ada berlaku ‘conflict of interest’.

Baru-baru ini, Pejabat Peguam Negara (AGC), mengesahkan bahawa Jho Low ada membuat tawaran penyelesaian dengan kerajaan.

Pihak AGC bagaimanapun memaklumkan bahawa kerajaan menolak tawaran yang dikemukakan oleh Jho Low.

Katanya, AGC mengesahkan bahawa dalam tahun ini, Jho Low melalui wakilnya membuat percubaan untuk mendapatkan satu penyelesaian dengan kerajaan Malaysia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here