NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menyindir Tan Sri Annuar Musa susulan kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu yang meminta pihak mencadangkan pemotongan gaji dan elaun menteri serta timbalan menteri agar berhenti ‘bermain politik’.
Mohamed Khaled berkata, pemotongan gaji dan elaun sememangnya tidak akan menyelesaikan masalah inflasi, namun ia menunjukkan solidariti bersama rakyat.
“Memanglah tak ada (negara lain turunkan inflasi selepas potong gaji menteri), tapi untuk tunjuk solidariti dan keinsafan kesusahan dan keperitan di sekeliling kita.
“Lupakah pengajaran yang kita dapati dari kewajipan berpuasa,” sindir Mohamed Khaled menerusi hantaran di Facebooknya.
Semalam Annuar yang juga Ketua Umno Ketereh dilaporkan berkata tindakan pemotongan gaji dan elaun menteri serta timbalan menteri yang dicadang beberapa pihak, tidak akan menyelesaikan masalah inflasi yang membelenggu negara dan dunia ketika ini.
Beliau menegaskan, kadar potongan gaji dan elaun anggota Kabinet tidak mencukupi untuk menyelesaikan isu inflasi dan kenaikan harga barang.
Justeru, beliau menggesa pihak yang mengusulkan cadangan pemotongan gaji dan elaun berkenaan untuk ‘berhenti bermain politik’ dan memberi fokus pada kaedah yang benar-benar mampu menyelesaikan isu inflasi secara tuntas.
“Boleh kamu namakan satu negara yang dapat menurunkan kadar inflasi menerusi pemotongan (gaji dan elaun menteri)?,” kata Annuar. – Malaysiapost

