‘Dalam mimpi arwah pulang hari ini’ – tunang

0
2

TUNANG kepada Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain tidak menyangka mimpinya bertemu dan bercakap dengan Allahyarham yang memberitahu akan ‘pulang’ menjadi petanda jasadnya yang hilang ditemukan serta disemadikan hari ini.

Nurfaizah Mahadi, 25, yang bekerja sebagai kerani memberitahu, dua kali bermimpi bertemu Allahyarham pada awal tahun ini dalam tempoh kira-kira 10 bulan selepas Allahyarham hilangkan.

“Saya tak ingat tarikh kedua-dua mimpi itu tetapi dalam mimpi pertama, saya hanya sempat bertanya ke mana dia pergi tetapi dibalas dengan senyuman arwah.

“Dia senyum tunjuk ke satu arah dan hilang, sebelum saya terjaga dari tidur,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pengebumian Muhammad Iman Aqmar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Putih di Pasir Gudang hari ini.

Terdahulu, jenazah Muhammad Iman Aqmar, yang ditemukan dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) di Sungai Api-Api di Nenasi, Pekan di Pahang pada 23 Julai lalu, selamat dikebumikan, jam 1 pagi tadi.

Berita kehilangan Muhammad Iman Aqmar tular di media sosial tahun lalu susulan gagal dikesan selepas bergerak dari Pasir Gudang jam 1.30 pagi pada 29 Oktober ke Terengganu dengan memandu kereta miliknya.

Menceritakan berkenaan mimpi keduanya, Nurfaizah berkata, dia ‘berjaya’ menghubungi Allahyarham menerusi telefon bimbitnya.

“Saya bertanya dalam mimpi itu, awak di mana? semua orang mencari awak. Arwah cakap saya ada sini dalam 26 haribulan nanti saya baliklah,” katanya.

Nurfaizah bagaimanapun bersyukur kerana jawapan kepada persoalan hampir 10 bulan telah terjawab kerana sebelum ini dia sering risau keadaan Allahyarham sejak kehilangannya.

“Selama hampir 10 bulan kami menunggu jawapannya, sekarang terjawab di mana dia berada. Ada kuburnya, Saya rasa bersyukur sangat kerana ini jawapan yang saya tunggu, selama 10 bulan ini saya selalu fikir dia di mana. Dia makan ke atau tidak?,” katanya.

Allahyarham Muhammad Iman Aqmar dan Nurfaizah sepatutnya melangsungkan pernikahan ketika ulang tahun kelahiran tunangnya itu pada Disember lalu namun hajat mereka tidak kesampaian.

Perkahwinan mereka sepatutnya diadakan pada Ogos tahun lalu, namun ditangguhkan pada Disember lalu kerana Ayah Norfaizah meninggal dunia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here