Persekitaran Gunung Inas, Baling masih tidak stabil – Takiyuddin

0
2

KAWASAN persekitaran Gunung Inas di Baling, Kedah yang dilanda bencana banjir dan kepala air baru-baru ini, masih tidak stabil dan terdedah kepada ancaman tanah runtuh serta jatuhan batu, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata siasatan awal Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mendapati terdapat bongkah bantuan yang longgar dan tergantung di lereng gunung berkenaan.

Menurutnya, trek jalan dan sungai sepanjang laluan masuk ke kawasan pergunungan terbabit juga diliputi oleh puing runtuhan dan kewujudan hakisan serta lekukan tebing.

“Sebagai langkah awal bagi memastikan keselamatan rakyat khususnya di Baling, KeTSA telah mengeluarkan satu surat pemakluman rasmi kepada kerajaan negeri Kedah pada 22 Julai lalu iaitu Perihal Langkah Kewaspadaan Awam di kawasan tadahan Gunung Inas.

“Kerajaan negeri disaran mengambil langkah perhatian terhadap zon bahaya serta mewujudkan zon kawalan untuk tujuan pengurusan bencana peringkat Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Takiyuddin (Pas-Kota Bharu) menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mengenai perancangan KeTSA dalam memastikan keselamatan rakyat khususnya penduduk sekitar Gunung Inas yang dilanda banjir baru-baru ini.

Menurut Takiyuddin beberapa langkah sudah diambil oleh agensi yang berkaitan berhubung bencana yang berlaku berkenaan termasuk pemeriksaan tapak dan penawanan data menggunakan dron yang dijalankan di kawasan tadahan Gunung Inas.

“Laporan pemeriksaan oleh JMG telah dihantar kepada KeTSA pada 17 Julai lalu dan laporan keseluruhan sedang dalam penyediaan yang akan disiapkan sebelum 4 Ogos ini.

“Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) telah menggunakan dron di lokasi kejadian pada 16 Julai lalu bagi mengumpul data dan akan melakukan sekali lagi pada esok serta akan menggunakan pesawat penggambaran foto udara pada 1 Ogos ini,” katanya.

Beliau berkata, selain itu Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) juga telah telah menubuhkan jawatankuasa siasatan dalaman pada 5 Julai lalu dan telah menyiasat serta mengumpul maklumat terperinci yang merangkumi skop mendalaman bermula daripada kelulusan projek ladang Musang King di gunung berkenaan sehingga status terkini.

“Daripada siasatan itu tanaman durian hybrid Musang King bukanlah spesis yang dikenalpasti untuk ditanam sebagai ladang hutan tetapi ditanam oleh kerajaan negeri Kedah seawal tahun 2017.

“Pada 2019 kerajaan negeri meluluskan penanam Musang King sebanyak 20 peratus daripada keluasan yang dibenarkan iaitu masih dalam kawasan yang dibenarkan,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah bagaimanapun melihat tanaman Musang King sebagai pelanggaran syarat kerana durian hybrid bukan spesis ladang hutan yang telah ditanam sebanyak 5,000 pokok di tanah keluasan 52 hektar di atas Gunung Inas

“Pada 2020 Jabatan Perhutanan Negeri Kedah melalui Menteri Besar yang ada sekarang ini telah mengarahkan pemberhentian segera aktiviti penanaman pokok durian ini.

“Jabatan Perhutanan juga mencadangkan supaya kerajaan negeri Kedah menjadikan Gunung Inas sebagai hutan perlindungan bagi tujuan kawasan hutan tadahan air supaya ia tidak boleh diusik dan akan memberi jaminan keselamatan rakyat di kawasan Baling,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here