PRU15: Anak muda hilang minat pada politik

0
3

Shahir Adnan

DEWAN Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) membuat tinjauan untuk mendengar aspirasi anak muda dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), di saat semua ahli politik giat melobi kerusi masing-masing.

Tidak dinafikan, keadaan politik negara pada hari ini agak stabil jika dibandingkan waktu Pakatan Harapan (PH) memerintah berlaku perebutan kuasa antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kerusi Perdana Menteri.

Keadaan politik juga amat kritikal ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri kerana tidak mempunyai sokongan yang kuat daripada kerajaan sendiri dan pembangkang.

Namun begitu, walaupun Perdana Menteri hari ini mengetuai kerajaan dengan majoriti tipis, beliau mendapat mandat sokongan daripada pihak pembangkang melalui perjanjian khas antara kerajaan dan pembangkang.

Lebih menarik apabila pihak pembangkang sendiri mahu memanjangkan tempoh perjanjian yang bakal tamat beberapa hari lagi.

Sokongan yang dinikmati daripada ahli-ahli parlimen kerajaan dan pembangkang seharusnya digunakan sebaiknya dalam usaha membawa rakyat keluar dari situasi ekonomi yang getir pasca Covid-19.

Dalam situasi menjelang PRU-15 yang boleh diadakan bila-bila masa sahaja, komposisi jajaran politik yang akan mewarnai politik tanah air masih lagi tidak jelas. Setakat ini, sudah ada sekurang-kurangnya empat gabungan parti-parti politik – Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), PH, dan terbaharu, gagasan politik yang mahu diketuai oleh Dr Mahathir. Persoalannya, sejauh mana gabungan parti politik di negara ini akan memanfaatkan rakyat.

Jelas anak muda hari ini hilang minat pada politik, malah bersikap lebih pasif terhadap isu pergeseran dan permasalahan ahli politik.

Mungkin sifat pasif terhadap politik juga mengakibatkan jumlah pengundi semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor tidak menepati sasaran. PRU-14 merupakan simbolik kuasa rakyat dibina dengan strategi politik perang saraf era media sosial dalam mendukung konsep hak asasi dan manifesto janji manis rakyat hingga membawa PH menerajui politik negara.

Namun begitu, manifesto tersebut dianggap bukan kitab suci selepas menang pilihanraya.

Undi 18 adalah suara demokrasi segar buat negara kita. Jumlah pengundi muda Undi 18 dianggarkan hampir 6 juta pengundi. Angka itu jelas menunjukkan kebarangkalian tsunami anak muda boleh berlaku pada pilihan raya akan datang.

Namun begitu, fahaman politik perlu diterapkan agar tidak berulang kisah dongeng janji manis manifesto politikus seperti PRU-14.

DPIM berpendapat bahawa PRU-15 wajar diadakan setelah perkiraan dari sudut ekonomi dan isu rakyat diteliti sedalam-dalamnya.

Harga barang masih naik, inflasi turut meningkat, dan ramai yang hilang kerja. Adakah gabungan politik yang menang PRU-15 nanti akan menyelesaikan isu rakyat?

Atau kita biarkan ahli-ahli politik ini meraih undi rakyat sekarang dalam menyelesaikan isu kita sebelum pilihan raya umum. Apa pun terjadi, isu rakyat perlu menjadi keutamaan pemimpin, bukan sekadar satu hingga dua minggu tempoh berkempen.

Penulis adalah Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) Parti Ikatan Bangsa Malaysia merangkap
Pengerusi Ikatan Negeri Kelantan

(Artikel ini disiarkan tanpa suntingan dan tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiapost)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here