KERAJAAN akan menyemak semula pengurusan pusat beli-belah yang dimiliki syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya diuruskan oleh syarikat tempatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, semakan semula itu bagi membolehkan peniaga Bumiputera menjalankan perniagaan di pusat beli-belah berkenaan sekaligus meningkatkan status sosio-ekonomi Bumiputera.
Menurutnya, sejak negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik, usahawan termasuk Bumiputera dapat kembali bernafas dan menjalankan perniagaan yang secara langsung membantu menggerakkan semula ekonomi negara.
“Ketika kita berdepan dengan tekanan inflasi, nilai jualan perdagangan borong dan runcit negara sekali lagi mencatatkan rekod baharu pada Mei dengan pertumbuhan 19.9 peratus iaitu sebanyak RM129.8 bilion, tertinggi sejak 2013.
“Meskipun begitu, status sosio-ekonomi Bumiputera masih di tahap rendah dan penglibatan usahawan Bumiputera perlu dipertingkatkan, bukan lagi di sektor informal tetapi sektor formal seperti menjalankan perniagaan di pusat beli belah yang disasarkan di bawah Rancangan Malaysia Ke- 12 (RMK-12),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam ulang tahun UDA Holdings Berhad (UDA) ke-50 di Petaling Jaya malam tadi.
Ismail Sabri menyarankan UDA menggandakan penglibatannya dalam sektor perniagaan dan hartanah bagi merancakkan semula ekonomi khususnya dalam membantu usahawan Bumiputera untuk terus maju.
“Justeru, saya menyeru agar UDA dapat menjual atau menyewakan ruang-ruang perniagaan yang sedia ada pada kadar yang mampu ditanggung oleh usahawan Bumiputera yang berpotensi mengembangkan perniagaan mereka.
“Ini untuk membolehkan usahawan Bumiputera berniaga dalam suasana yang lebih selesai dan dalam masa yang sama dapat meningkatkan status mereka sebagai usahawan berjaya,” katanya.
Sementara itu, beliau melahirkan rasa bangga atas kejayaan UDA selama 50 tahun dalam membantu membangunkan negara dan masyarakat.
“Saya berharap agar pencapaian ini akan menyemarakkan lagi keazaman generasi masa kini untuk terus-menerus melakar kejayaan seperti yang dikecapi UDA.
“Namun, UDA tidak harus merasa puas hati atas pencapaiannya selama ini kerana sektor hartanah dan perniagaan sentiasa berkembang,” katanya.
Dalam majlis itu Perdana Menteri turut mengumumkan dana RM100 juta bagi membantu UDA terus membangunkan pusat komersial dan membantu usahawan Bumiputera mendapatkan ruang perniagaan.
Beliau kemudian melancarkan buku ‘UDA 50 Tahun, Bersama Meneruskan Legasi’. – Malaysiapost

