PM dapat perintah injuksi padam artikel

0
2
ismail sabri

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memperoleh perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya pemilik portal Agenda Daily Media Enterprise memadam artikel didakwa memfitnahnya, sehingga kes saman difailkannya berhubung perkara itu, diputuskan mahkamah.

Berita Harian melaporkan, Peguam Joshua Tan yang mewakili Ismail Sabri berkata, melalui perintah injunksi kedua-dua belah pihak (inter-parte), Perdana Menteri berjaya mendapatkan perintah supaya pemilik portal Agenda Daily memadamkan artikel bertajuk “Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, ‘rayu’ jangan tarik sokongan”.

Agenda Daily Media juga kata Joshua, diperintah tidak membuat sebarang kenyataan yang membayangkan Ismail Sabri terdesak untuk kekal sebagai Perdana Menteri, dan beliau ‘rayu’ atau akan ‘rayu’ kepada parti politik untuk tidak menarik balik sokongan terhadapnya.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad pada prosiding kes saman yang dijalankan secara dalam talian dan beliau turut membenarkan permohonan itu tanpa perintah berhubung kos.

Pada 18 Februari lalu, Ismail Sabri berjaya mendapatkan perintah sama melalui permohonan injunksi ex-parte (sebelah pihak).

Peguam Asiah Abd Jalil yang mewakili pemilik Agenda Daily, Muhamad Izwan Mohd Zubit yang dinamakan selaku defendan dalam saman itu, mengesahkan perkara tersebut.

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan, Ismail Sabri sebagai plaintif berkata, pada 30 Januari lalu, Agenda Daily Media menerbitkan artikel bertajuk “Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, ‘rayu’ jangan tarik sokongan” (artikel yang dipersoalkan) di laman webnya.

Ismail Sabri berkata, artikel itu jika dibaca secara keseluruhannya, mengandungi pelbagai kenyataan berniat jahat dan fitnah berhubung dirinya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here