INSIDEN pagar penghadang roboh di Jakarta International Stadium (JIS) mencacatkan majlis perasmian pembukaan stadium baharu kebanggaan rakyat Indonesia itu.
Pagar penghadang di tempat duduk penonton roboh ketika penyanyi, Virza membuat persembahan pembukaan.
Difahamkan jumlah kehadiran penyokong terlalu ramai menjadi punca ia roboh malah terdapat segelintir yang memanjat pagar.
Mujur tiada kemalangan jiwa dilaporkan, jika tidak pasti akan menjadi tragedi hitam pada acara pembukaan JIS, lapor media tempatan.
JIS yang mengambil masa tiga tahun untuk siap dibina, dilengkapi lteknologi dan fasiliti canggih, namun insiden pada acara pertama di stadium berkenaan menjadi tanda tanya kepada rakyat Indonesia mengenai kualiti pembinaannya.
JIS dibuka secara rasmi semalam dengan penganjuran perlawanan persahabatan antara Persija Jakarta dan Chonburi FC.
Walaupun berstatus aksi persahabatan, ramai penyokong Persija Jakarta membanjiri ‘rumah’ baru bagi memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka.
Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) mengumumkan JIS akan menjadi gelanggang rasmi bagi perlawanan melibatkan pasukan kebangsaan Indonesia.
Memetik laporan portal Harimau Malaya, insiden pagar penghadang roboh kemungkinan menjejaskan peluang Indonesia untuk dipilih menganjurkan Piala Asia 2023.
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tentu memandang serius insiden tersebut terutama yang melibatkan aspek keselamatan penonton dan pemain. – Malaysiapost
Kredit Foto: Instagram @info_jakartapusat

