Lempar mercun dalam sungai, Adun DAP mahu kontraktor dikenakan tindakan

0
3

SEORANG wakil rakyat DAP mahu polis mengambil tindakan tegas terhadap seorang kontraktor yang mengaku melempar mercun bola ke dalam Sungai Sepia di Ulu Tembeling dekat Jerantut, baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, Young Syefura Othman, berkata beliau amat kecewa dengan kenyataan dikeluarkan kontraktor itu yang beliau “melemparkan mercun sekadar suka-suka”.

Katanya, ia menunjukkan kontraktor tersebut tidak arif mengenai isu alam sekitar terutama berkaitan habitat haiwan.

“Walaupun tiada ikan yang timbul namun saya percaya sisa belerang dari mercun sedikit sebanyak mencemarkan air dan ekosistem sungai tersebut.

“Saya memohon agar polis dan agensi yang berkaitan segera mengambil tindakan kepada kontraktor ini.

“Kejadian sebegini tidak boleh berulang lagi. Alasan “suka-suka” tidak boleh diterima dan tindakan beliau sangat tidak bertanggungjawab,” katanya.

Young Syefura juga mengingatkan orang ramai yang mengunjungi sungai atau hutan untuk tujuan rekreasi agar mematuhi larangan dan peraturan serta memelihara kebersihan dan kelestarian habitat dan ekosistem alam sekitar kita.

“Sudah cukup kita berdepan pelbagai masalah kerosakan besar di hutan dan sungai, janganlah kita menambah lagi kerosakan ini walaupun dengan sekecil-kecil perbuatan. Sayangi alam sekitar kita,” katanya.

Baru-baru ini seorang kontraktor mengaku melempar mercun bola dalam sungai ketika mengikuti lawatan kerja rombongan (Adun Pahang di Sungai Sepia, Ulu Tembeling, pada 15 dan 16 Julai lalu.

Mohd Rosli Awang, 44, bagaimanapun menafikan menggunakan bom ikan untuk menangkap ikan di sungai itu sebagaimana tular di media sosial sejak minggu lalu.

“Memang saya yang lempar mercun bola ke dalam sungai, bukan beliau (Adun Pahang) seperti diviralkan di media sosial.

“Saya lempar mercun bola bukan untuk menangkap ikan, tetapi sekadar suka suka sahaja,” katanya.

Mohd Rosli mengaku beliau menggunakan enam biji mercun bola jenama Ap Boom tetapi hanya dua sahaja meletup. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here