IRDA catat 13 bilion pelaburan

0
2

PIHAK Berkuasa Wilayah Iskandar Malaysia (IRDA) mencatatkan sebanyak RM13 bilion pelaburan komited sehingga Jun 2022, dengan RM6 bilion daripadanya telah direalisasikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata lebih RM10 bilion bakal dijana oleh pelaburan asing di wilayah itu untuk pembangunan pusat data.

“Jumlah yang dicatat itu membuktikan pelabur asing semakin yakin untuk melabur di Malaysia dan pelaburan asing ini akan memberikan pertambahan peluang pekerjaan untuk Keluarga Malaysia.

“Jadi, secara keseluruhannya, lebih 6,000 orang Keluarga Malaysia di wilayah ini telah mendapat manfaat secara langsung daripada semua inisiatif sosioekonomi yang dijalankan,” katanya hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz, mempengerusikan Mesyuarat Ahli IRDA kali ke-30.

Ismail Sabri berkata, sejak penubuhan IRDA, ia telah merekodkan RM219 bilion yang mana 60 peratus (hampir RM221 bilion) daripadanya adalah pelaburan domestik dan selebihnya RM148 bilion daripada pelaburan asing.

Tambahnya, IRDA turut merangka Strategi Pertanian Moden dalam mengukuhkan agenda Sekuriti Makanan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembangunan teknologi 5G yang merupakan komponen sokongan utama Pertanian Moden disegerakan di Kawasan Iskandar Malaysia bagi menangani isu bekalan makanan dalam negara.

“Ini sejajar dengan agenda kerajaan yang memberikan penekanan kepada sekuriti makanan melalui peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

“Pertanian Moden Iskandar Malaysia ini bakal menjenamakan IRDA sebagai ‘Agrifood Hub’ Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, IRDA juga sedang merangka Draf Pelan Pembangunan Komprehensif Iskandar Malaysia 2022 – 2030 yang bakal menjadikan wilayah ini sebagai salah satu tunjang utama menjana ekonomi negara dengan berkonsepkan pembangunan mampan dan berdaya tahan terhadap ketidaktentuan, kejutan dan tekanan masa depan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here