Timbalan Speaker panggil saksi isu Tajuddin membuat kenyataan seksis

0
2

Keputusan sama ada Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) akan dikenakan tindakan kerana mengeluarkan perkataan lucah dalam Sidang Dewan Rakyat akan ditentukan selewat-lewatnya esok.

Timbalan Speaker Datuk Mohd Rashid Hasnon, berkata beliau telah menerima surat aduan membabitkan Tajuddin itu serta daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun untuk mengendalikannya.

Menurutnya, beliau sudah mengaturkan pertemuan dengan beberapa saksi berhubung perkara itu

“Saya baru terima (surat aduan) dan sedang dalam proses (mengendalikannya). Sebahagian daripada saksi telah pun saya aturkan pertemuan dengan mereka.

“Saya akan buat rumusan keseluruhannya dan akan berikan jawapannya dalam minggu ini, selewatnya mungkin esok untuk saya buat keputusan,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab Peraturan Mesyuarat yang dibangkitkan Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) yang meminta agar Tajuddin diambil tindakan atas kelakuannya itu.

Kasthuri mendakwa, buat masa ini sudah ada sembilan saksi mendengar Tajuddin mengeluarkan kata-kata seksis.

“Kita sudah hantar satu surat kepada speaker untuk memohon beliau memanggil Tajuddin agar mohon maaf dan menarik balik penggunaan kata-kata lucah dalam Dewan Rakyat.

“Kita dikejutkan dengan kelakuan amat tidak senonoh dan tidak boleh diterima mana-mana Ahli Parlimen di sebelah sana (kerajaan) atau di sini (pembangkang),” katanya yang menegaskan perbuatan Tajuddin adalah kesalahan berulang.

Manakala RSN Rayer (PH-Jelutong) turut menggesa Rashid mengambil tindakan segera berikutan isu itu berlaku sejak minggu lalu selain mendakwa Tajuddin sehingga kini tidak membuat sebarang penafian.

“Sejak Rabu sehingga hari ini, Pasir Salak (Tajuddin) tidak buat penafian. Ini merupakan bukti (Tajuddin) tidak nafikan (ada) mengeluarkan perkataan lucah,” katanya.

Dewan Rakyat pada Rabu lalu dilaporkan kecoh apabila Tajuddin berang digelar gemar mengeluarkan kenyataan berunsur seksis oleh seorang wakil rakyat DAP. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here