Najib: Boleh saya gelar kamu pencuri Tun?

0
1

DATUK Seri Najib Razak hari ini secara sinis mempersoalkan Tun Dr Mahathir Mohamad sama ada beliau boleh menggelar Ahli Parlimen Langkawi itu sebagai pencuri.

Ia susulan media melaporkan Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu, Dr Mahathir menerima sumbangan dana politik RM2.6 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

“Bagaimana Tun? Boleh saya mula gelar kamu sebagai penyamun, perompak atau pencuri tak?

“Saksi yang memberitahu mahkamah bahawa Muhyiddin dibayar RM1.3 juta juga mengaku telah memberi RM2.6 juta cash kepada Tun Mahathir selepas dia menjadi PM pada PRU14.

“Itu RM2.6 juta – bukan dana dikatakan RM2.6 bilion yang pernah masuk akaun saya sebelum PRU13,” kata Najib menerusi hantaran di Facebooknya.

Mengulas lanjut, Najib berkata berbeza RM2.6 juta didakwa diterima Dr Mahathir, dana RM2.6 bilion yang diterimanya pula telah dikembalikan empat bulan kemudian.

“Sebab itu saya didakwa bawah AMLA sembulan kali kerana menerima dan didakwa enam pertuduhan lagi kerana memulangkan dana tersebut kepada penghantar.

“Sebab itu, saya tidak didakwa merompak, menyamun atau mencuri atau menggunakan dana disebut RM2.6b itu tapi didakwa bawah AMLA,” katanya lagi.

Namun sehingga kini katanya, tiada seorang pun pemimpin Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN) yang pernah keluarkan kenyataan mengaku dana dikatakan RM2.6 bilion itu sudah dikembalikan.

“Sebab semua mahu kekalkan persepsi bahawa saya sudah curi dana tersebut untuk digunakan bagi membeli cincin, beg tangan dan sebagainya atau disorok saya.

“Bagaimana pula dengan Mahathir? Dia ada pulangkan dana RM2.6 juta itu tak?

“Sekiranya tidak dikembalikan, dana itu sudah digunakan di mana? Untuk CSR juga tak?,” soalnya.

Hari ini, media melaporkan Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu bahawa Dr Mahathir menerima sumbangan dana politik sebanyak RM2.6 juta daripada UKSB.

Perkara itu dimaklumkan bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, 47, pada perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, David Tan Siong Sun berkata bekas Perdana Menteri itu yang juga bekas Pengerusi Bersatu menerima sumbangan itu untuk kegunaan parti berkenaan menerusi anak saudaranya, Tan Sri Rahmat Abu Bakar. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here