TIADA pengecualian tindakan tatatertib terhadap setiap pemain mahu pun pengadil perlawanan yang melakukan kekasaran dan keganasan.
Pandangan itu dilontarkan bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Subkhiddin Mohd Salleh yang berkata mana-mana pihak yang bersalah wajar dikenakan hukuman yang setimpal.
“Tiada pengecualian terhadap mana-mana pihak, lebih-lebih lagi pengadil. Yang bersalah perlu diadili dengan sewajarnya,” katanya dalam hantaran di laman Twitter miliknya hari ini.
Mengulas lebih lanjut insiden yang berlaku pada perlawanan suku akhir Piala FA antara Sabah FC dan Selangor FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam tadi, bekas pengadil FIFA itu berkata, insiden
melibatkan pengadil Suhaizi Shukri dan pemain pertahanan kiri Selangor, Fazli Mazlan itu perlu diadili dengan sebaik-baiknya.
“Saya perhatikan tangan pemain berkenaan terdapat sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku disitu.
Biar mereka diadili sebaik-baiknya,” katanya.
Insiden ‘pelik’ itu berlaku pada babak pertama perlawanan apabila Fazli menjatuhkan kapten Sabah, Baddrol Bakhtiar dari belakang lalu memberikan sepakan percuma kepada pasukan tuan rumah.
Keputusan itu menimbulkan rasa kurang senang Fazli yang cuba membantah namun secara tiba-tiba kelihatan Suhaizi seakan cuba menendang kaki pemain Gergasi Merah tersebut.
Video insiden itu tular di media sosial sejak malam tadi sehingga menimbulkan rasa kurang senang netizen. -Malaysiapost

