Ben Ibrahim
SELEPAS banjir besar melanda Kuantan pada tahun 2012, kesan hakisan semakin kritikal terus menghantui penghuni rumah teres di Taman Cenderawasih.
Walaupun bencana itu telah 10 tahun berlalu, penduduk mendakwa belum ada agensi bertanggungjawab mengambil langkah bagi mengatasi masalah berkenaan.
Buat masa ini, kira-kira 30 pemilik rumah teres di taman berkenaan tidak dapat tidur lena tiap kali hujan lebat dan keadaan bertambah buruk apabila banjir melanda penempatan mereka setiap kali musim tengkujuh.
Penduduk, Sabri Abu Bakar, 70, ketika ditemui berkata, kesan hakisan bertambah teruk selepas banjir hujung tahun lalu dengan jarak antara kesan hakisan dan bahagian belakang kediaman mereka semakin dekat.

“Saya dah tinggal di sini kira-kira 30 tahun dan melihat sendiri keadaan hakisan makin memburuk setiap kali selepas banjir.
“Kalau dulu jarak hakisan dengan rumah kami kira-kira 20 meter, sekarang cuma lima meter tebing sungai dengan dinding belakang rumah.
“Jika keadaan ini terus dibiarkan, tak tahulah berapa lama lagi boleh bertahan,” katanya.

Dia berharap pihak berkuasa mengambil langkah segera untuk mengatasi masalah itu sebelum kejadian tidak diingini berlaku.
“Aduan telah dibuat, sebelum ini kami dah buat (aduan) kepada agensi berkaitan, tapi sampai sekarang belum nampak tindakan diambil,” katanya.
Bagi Pan Ah Moi, 76, jarak hakisan dengan rumah penduduk sudah terlalu hampir dan boleh mendatangkan bahaya, terutama kepada kanak-kanak.

“Sekarang boleh tengok sendiri, dulu jauh lagi hakisan dengan rumah, sekarang sudah dekat sangat.
“Macam ada lubang besar, saya takut nanti rumah pun jatuh dalam lubang (hakisan) ini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Noraini Awang, 54, meminta jasa baik pihak berkenaan untuk memberi perhatian kepada isu dihadapi penduduk di situ.

“Kalau boleh, tolong datang tengok masalah yang sedang kami hadapi, kita bimbang dengan keselamatan semua orang yang tinggal di sini.
“Buatlah sesuatu, baiki segera kerosakan benteng dan jalan berpunca daripada kesan hakisan.
“Saya dah buat aduan sebelum ini, aduan kepada agensi kerajaan negeri pun dah buat, jadi selesaikan masalah ini secepat mungkin,” katanya.
Kawasan itu antara perumahan terawal dibuka di bandar raya Kuantan, sekitar awal tahun 1990-an dan turut diancam banjir kilat setiap kali musim tengkujuh, terutamanya jika berlaku fenomena air pasang besar bertembung dengan hujan lebat. – Malaysiapost
Kunjungi bahagian Resam Hidup untuk baca cerita yang terkini dan menarik

