KERAJAAN perlu memandang serius saranan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai penubuhan semula Majlis Sekuriti Makanan Negara.
Ketua Armada Bersatu Sabak Bernam, Mohammad Ferris Mohd Fasiah kerajaan perlu fokus kepada jaminan sekuriti makanan berikutan saiz populasi yang semakin meningkat di Malaysia.
Katanya, saranan dikemukakan Muhyiddin itu membuktikan bekas Perdana Menteri tersebut melihat lebih jauh ke hadapan dan ideanya yang komprehensif.
“Menerusi pengaktifan semula majlis berkenaan, kerajaan boleh meningkatkan hasil pengeluaran dalam negara, sekali gus mencari jalan mengatasi krisis yang dihadapi.
“Ini kerana krisis makanan dihadapi kini adalah isu global yang turut memberi tempias kepada Malaysia.
“Ini sebagai pelan sokongan kepada penyelesaian kekurangan bekalan asas makanan dalam negara yang dihimpit inflasi. Bila inflasi, kita kena perbanyak pengeluaran dalam negara dan kurangkan aliran wang keluar,” katanya menerusi kenyataan.
Mei lalu, Muhyiddin menyarankan kerajaan dmengaktifkan semula majlis khas yang pernah ditubuhkan sebelum ini untuk menangani masalah sekuriti makanan negara, sekali gus mencari jalan mengatasi krisis dihadapi.
Presiden Bersatu itu berkata menerusi pengaktifan semula majlis berkenaan, kerajaan boleh meningkatkan hasil pengeluaran dalam negara.
Beliau berkata, krisis makanan dihadapi kini adalah isu global yang turut memberi tempias kepada Malaysia.
Mengulas lanjut, Mohammad Ferris berkata kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengawal selia kenaikan harga barangan kerana besar kemungkinan negara akan berhadapan situasi hiperinflasi jika tiada langkah intervensi yang terkawal dan berkesan diambil segera.
Tambahnya, jika kerajaan tidak mengambil langkah proaktif segera, tentu memberi kesan terhadap kos sara hidup dan peningkatan harga barang yang akan membeban rakyat dari sudut kehidupan serta kesihatan mental.
“Selain itu, kerajaan juga perlu menetapkan harga siling bagi barangan keperluan harian yang lebih baik dan efektif selain jaringan keselamatan sosial berstruktur perlu dijalankan.
“Antara langkah lain yang boleh diambil oleh Kerajaan mungkin menilai semula cadangan “Pegging” nilai ringgit pada suatu kadar yang bersesuaian sementera waktu agar kesan ke atas kos eksport dan import dapat dikurangkan,” katanya. – Malaysiapost

