MB Selangor mohon maaf, terpaksa keluar dari kuarantin

0
2

MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memohon maaf kerana terpaksa keluar dari kuarantin malam ini.

Ini kerana, katanya, beliau perlu berbuat demikian untuk menyelesaikan isu pencemaran air yang memberi kesan pada kehidupan rakyat Selangor.

“Namun saya mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai ‘face shield’, ‘face mask’ juga kedua-dua ujian saringan saya menunjukkan keputusan negatif,” katanya menerusi Facebook malam ini.

Terdahulu, Amirudin melawat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih bagi meninjau situasi pencemaran yang berlaku petang tadi.

Katanya, berdasarkan taklimat dan siasatan awal, punca pencemaran adalah dari kawasan perindustrian di Negeri Sembilan.

“Usaha sedang dilaksana bagi membersihkan sumber air dan memulihkan bekalan air secepat mungkin,” katanya.

Turut bersama dalam lawatan itu ialah Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dalam sidang medianya selepas itu, Amirudin berkata, punca pencemaran adalah sejauh 30km dari LRA Sungai Semenyih.

“Punca pencemaran dikesan di Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan. Saya telah berhubung dgn Menteri Besar Negeri Sembilan untuk bersama menyelesaikan isu ini,” katanya.

Lewat petang tadi, Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya ekoran pencemaran air mentah di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah ke loji itu.

Ia menyebabkan 274 kawasan terjejas membabitkan 309,687 akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual di empat wilayah iaitu Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang. – Malaysiapost